POKLEN




Bahasa merupakan satu alat perhubungan yang telah lama digunakan untuk berkomunikasi di antara sesama manusia . Ia telah wujud sejak turunnya manusia pertama iaitu Nabi Adam Alaihi’salam ke dunia ini. Sejak dari itu bahasa semakin berkembang pesat sebagaimana membiaknya manusia sehinggalah ke hari ini yang mempunyai pelbagai bahasa yang berbeza-beza sebagai alat berkomunikasi.

Menurut kajian jumlah bahasa yang ada sekarang ialah dari 6000 ke 7000 buah bahasa, dan dari jumlah tersebut banyak bahasa mengalami kepupusan  malah terdapat bahasa yang sudah hilang kerana bangsanya turut hilang dibawa oleh arus modenisasi dan globalisasi termasuklah bahasa Melayu yang digunakan oleh bangsa Melayu di Asia Tenggara ini.

Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang terulung kerana bahasa inilah yang mengangkat bangsa Melayu di persada dunia perbahasaan, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi bagi negara-negara yang mempunyai majoriti bangsa Melayu seperti Brunei, Malaysia, Indonesia dan kepulauan-kepulauan Melayu seperti Pulau Keeling (Cocos Island) dan Pulau Krismas (Christmas Island) yang terletak di bawah jajahan Australia yang masih mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan mereka seharian.

Pada masa sekarang dianggarkan seramai 215 juta pengguna bahasa Melayu di seluruh Nusantara Tanah Melayu dan itu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling banyak digunakan di dunia. Sungguhpun begitu, bahasa Melayu turut mengalami banyak perubahan, cabaran dan halangan bagi para aktivis dan sarjana linguistik bahasa Melayu yang berusaha untuk memertabatkan dan memperjuangkan bahasa tersebut.

Dalam hal ini, mari kita memfokuskan cabaran dan halangan yang dihadapi oleh bahasa Melayu yang digunakan di Brunei Darussalam, salah satu cabaran yang dihadapi ialah penggunaan bahasa ‘poklen’ di kalangan belia-belia bangsa Melayu yang dilihat sebagai penghancur bahasa Melayu di negara Brunei Darussalam. Maka isu ini akan dapat kita bincangkan pada bab-bab seterusnya.


Apa itu Slanga ‘Poklen’

Bahasa slanga merujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat ialah kata-kata yang terdiri daripada ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, seringnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Ia juga boleh diertikan sebagai pertuturan yang menyimpang daripada norma sebutan atau tatabahasa.
Menurut Kamus Oxford, mendefinasikan sebagai Slanga satu perbendaharaan kata yang khusus digunakan oleh sekumpulan manusia yang rendah kedudukannya. Manakala Nik Safiah Karim mendefinisikan slanga sebagai bahasa terhad (restricted language) kerana mempunyai cirri tertentu dan hanya digunakan dan difahami oleh golongan tertentu sahaja.

Slanga menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula ialah kata, ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, iaitu bahasa yang digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Dapatlah disimpulkan bahawa bahasa slanga ialah bahasa yang digunakan oleh satu kelompok manusia dan hanya kelompok berkenaan sahaja yang memahaminya. Dalam konteks lokasi juga, bahasa slanga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Namun menurut Urban Dictionary, slanga Poklen itu merujuk kepada mereka yang tidak tahu mengeja ataupun menggunakan bahasa Inggeris dengan betul; seseorang yang berlagak untuk menarik perhatian orang lain ataupun seseorang yang suka menambah huruf ‘z’ dan ‘x’ ketika menulis ataupun menaip sesuatu perkataan. Hal ini bukan sahaja berlaku kepada bahasa Inggeris, malah bahasa Melayu itu sendiri. Namun, pengertian sebenar poklen tersebut masih kabur kerana kurangnya kajian yang dijalankan secara terbuka.


Latar Belakang dan Sejarah ‘Poklen’

Perkataan ‘Poklen’ ini dipercayai berasal dari perkataan ‘Portland’/’Folkland’, namun apabila diperhatikan semula, perkataan ‘Poklen’ itu sendiri tidak ada sebarang kaitan dengan perkataan ‘Portland’/’Folkland’. Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa poklen ini istilah yang merujuk kepada sekumpulan remaja sterotaip di Brunei yang telah dipengaruhi dengan fesyen yang tidak senonoh, menunjukkan taraf pendidikan yang rendah dan bercakap secara berlebih-lebihan. Salah satu sebab mereka mendapat gelaran sebagai poklen adalah kerana mereka seringkali berperasaan ‘cool’ dan cuba menunjuk-nunjuk perangai mereka dengan meniru budaya-budaya dari barat.

Kumpulan poklen ini telah menimbulkan berjaya kontroversi di kalangan remaja Brunei yang berumur 12 tahun sehinggalah berumur 25 tahun, sama ada masih menuntut di sekolah menengah ataupun telah habis bersekolah.

Pada dasarnya, poklen ini dimulakan oleh kaum remaja lelaki yang dianggap sebagai ‘Stalkers/attention seekers’ dan mereka ini sering keluar secara berkumpulan dan berpakaian rugged untuk menarik perhatian gadis-gadis yang lalu lalang di kawasan kompleks membeli belah, kumpulan ini dilihat sebagai tidak matang kerana cuba menjalinkan sesebuah perhubungan percintaan melalui dengan mendapatkan akaun Facebook dan media sosial yang lain dari gadis-gadis yang mereka temui. Namun hakikatnya, kebanyakkan teknik dan percubaan yang dilakukan oleh mereka sering gagal.

Ketika isu ini tengah hangat diperkatakan, beberapa pihak telah mendakwa bahawa perkataan ‘Poklen’ ini berasal dari sebuah kampong yang agak terkenal di Brunei, namun, dakwaan tersebut mempunyai relevannya sendiri apabila kita melihat ke dalam bab seterusnya iaitu ciri-ciri ‘Poklen’.







Ciri-Ciri ‘Poklen’

Menurut beberapa dakwaan yang dibuat, ‘Poklen’ ini berasal daripada sekumpulan belia remaja yang tinggal di Kampong Ayer, mereka ini selalunya berkumpul dan melepak di sesuatu tempat sekadar untuk membuang masa, merokok dan berbuat perkara yang tidak berfaedah.

Kehidupan berjiran di Kampong Ayer telah memberikan satu peluang untuk mereka berkumpul dan sering mengikuti perkembangan fesyen seperti ala-ala punk sehinggalah wujudnya perkataan-perkataan yang diubahsuai (modified) dengan menukar perkataan yang menggunakan huruf ‘u’ kepada ‘w’, ‘s’ kepada ‘z’, ‘k’ kepada ‘x’ dan sebagainya.

Apabila berkumpulan mereka nampak lebih menonjol dengan gaya masing-masing, mereka telah digelarkan sebagai ‘Punk-Failed’ kerana cuba meniru gaya dan fesyen seperti budak Punk akan tetapi gaya yang diikut mereka tidak menjadi.

Secara jelasnya lagi mereka kerap dilihat menarik perhatian orang ramai dengan penampilan yang mereka bawakan iaitu memakai seluar ketat (skinny jeans) dengan warna yang agak terang dan menonjol, rambut terpacak, sering dilihat memakai gelang getah, memakai kasut seperti kasut yang terkenal dengan Justin Bieber iaitu Supra, dilihat melepak di pusat-pusat membeli belah di kawasan The Mall Gadong, Yayasan SHHB, Kianggeh dan sebagainya dan ada yang cuba membuat persembahan percuma seperti ‘shuffle’ dan ‘break dance’ dan berlagak ‘cool’ untuk menarik perhatian orang ramai.

Kadangkala, mereka dilihat lebih berani dengan bertindak kurang sopan di hadapan khalayak ramai seperti berpegangan tangan dan berpelukan, mengeluarkan kata-kata lucah, menyumpah-nyumpah orang lain, bergaduh, merokok dan sebagainya,


Gaya Bahasa Slanga ‘Poklen’

Poklen ini telah dibentuk memlalui cara percakapan mereka iaitu gabungan bahasa Melayu dengan Inggeris. Perkataan yang digunakan oleh poklen ini amatlah menjengkelkan kerana pabila merekan menaip perkataan, mereka akan mencampuradukkan huruf besar dengan huruf kecil dan menambah huruf f, ‘x’, ‘v’ dan ‘z’ di setiap hujung perkataan yang ditulis.

Golongan ini  lebih mudah untuk dikenali ketika behubung melalui media internet seperti Facebook dan Twitter. Contoh perkataan/expressi:

AhaKz (Ketawa)
bHaPazx (buat apa?)
MuAHaX (Cium)
C0oLzZZzz (cool)
HeKz, HeKz (Ketawa)
hYEz (Hai)
 APaKnZ (Apa)
OitZzZ (Hai/Hoi)
cHuPPy2z (Nakal)
 MiHeRzZ (Geli)
LeFuckZz (Lepak)


Contoh ayat:

Contoh 1: Gaya Bahasa yang digunakan oleh ‘Poklen’:
 A: VaHapa kO kAnz? LaKazTah beJalanz tani LeFuckZz di da MallzzX.
Bahasa Melayu Brunei:
A: Bahapa kau kan? Lakas tah berjalan tani lepak ke The Mall.
Bahasa Melayu Standard:
A: Awak sedang buat apa? Jomlah kita pergi lepak di Mall.

Contoh 2: Gaya Bahasa yang digunakan oleh ‘Poklen’:
B: Bah, LaKAstaH beJalaNZ, boRinX  Qu d ruMah ahXx, naDaPapaX kAnz kU VUwat/BWat Vah.
Bahasa Melayu Brunei:
A: Bah, lakas tah berjalan, boring ku di rumah ani, nada papa kan ku buat.
Bahasa Melayu Standard:
Jom kita pergi Mall, saya bosan duduk rumah, tak ada apa nak dibuat.

Contoh 3: Gaya Bahasa yang digunakan oleh ‘Poklen’:
C: SaSakzzZ qu eh!!
Bahasa Melayu Brunei:
C: Sasak ku eh!!
Bahasa Melayu Standard:
C: Benci ku eh!!

Gaya bahasa yang digunakan oleh poklen ini nampaknya agak susah untuk difahami bagi pengguna bahasa Melayu yang betul kerana ejaan-ejaan yang digunakan oleh kumpulan ini agak susah difahami disebabkan oleh huruf besar dan kecil dicampur-campur atau dirojakkan dalam sesuatu perkataan, manakala yang menyukarkan untuk kita memahami ialah penggunaan huruf tambahan yang ada seperti ‘f’ ‘w’, ‘x’, ‘y’, ‘z’. 

Kecanggihan teknologi; internet dan media sesawang seperti facebook dan twitter menjadi pemangkin kepada perkembangan dan tersebarnya budaya ‘poklen’ ini, kerana seperti yang kita ketahui, mereka yang digelar sebagai ‘poklen’ ini sering meraih simpati dan menarik perhatian orang ramai khususnya pengguna Facebook. Kemudahan berfacebook membolehkan kita berinteraksi dan berhubung dengan rakan-rakan, maka mari kita lihat bagaimana seorang ‘poklen’ cuba mendapatkan perhatian daripada rakan-rakan facebook:


1) Situasi ketika seorang ‘poklen’ hendak mengupdate status, mereka akan meletakkan perkataan ‘SingleMe’ di bawah status mereka:
Contoh:
Status Update:

KaNz jaLanz Ke KaDai MeMbaLi MaGGie

SingleMe <3
                Like 200
Dengan kaedah tersebut, mereka akan dapat menarik ramai pengguna facebook untuk menekan butang ‘like’ status mereka dan secara tidak langsung mereka akan merasakan diri mereka terkenal dan disukai kerana mempunyai masih berstatus bujang (single) dan cuba berlagak seperti seorang yang cool.

2) Situasi di mana mereka baru meletakkan gambar terbaru mahupun ‘display picture’ Facebook:
Contoh:
Status Update:

LOike My  DP Plishhh :P I’lL Loike YoUr DP ToO!
                  Like 1000
Dengan cara ini juga mereka sanggup meraih simpati dan perhatian daripada rakan-rakan facebook untuk me’like’ gambar-gambar mereka malah ada yang sanggup menghantar melalui ‘inbox’ agar me’like’ gambar mereka dengan balasan ‘poklen’ tersebut akan melike gambar orang yang diinbox tadi hanya sekadar untuk mendapatkan perhatian.

Contoh dibawah ini pula merupakan situasi di mana seorang poklen cuba mendapatkan perhatian perempuan yang baru dikenalinya:

Poklen 1(Lelaki): "Uitzzz. U aDa BoyPren Udhz?? mE aLuM pLangZ aDa GF Ni, AhAkz. BuLeh beKenaLanZ?".

Gadis 1: Poklen jua usulmu ah!

Kesimpulan
Perkembangan bahasa slanga seperti bahasa poklen ini  mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutama dalam kalangan belia-belia remaja amat membimbangkan ahli bahasa dan pencinta bahasa Melayu kerana bahasa ini dikatakan akan mencacatkan usaha mereka untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi di negara kita.

Kita tidak mahu nanti bahasa slanga berleluasa di negara kita dan secara tidak langsung menjadikan masyarakat kita sebagai bangsa yang tidak tahu berbahasa dengan betul dan akhirnya sedikit demi sedikit bahasa Melayu yang kita cintai beransur-ansur hilang disebabkan tiada lagi penutur yang menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Penggunaan bahasa slanga Poklen ini juga memberi impak buruk kepada bangsa-bangsa asing yang cuba mempelajari bahasa Melayu yang cuba mempelajari bahasa tersebut secara tidak formal yakni melalui percakapan, surat khabar, Facebook dengan ketiadaan penggunaan bahasa Melayu yang betul akan membuatkan mereka ambil tidak endah malah mengelirukan mereka yang mana bahasa Melayu yang betul digunakan.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Analisis Kesalahan Bahasa

SINONIM DAN KESINONIMAN KATA BAWA

Taksonomi Kesalahan Berbahasa