Bab 1 Penggunaan fonem ng- dalam Bahasa Melayu Brunei

Disiarkan pada 6/11/17
Oleh Pendikar Bahasa
1.0       PENGENALAN
Kajian ini akan memperkatakan sesuatu mengenai fonem ng- (selepas ini disebut sebagai fonem /ŋ/) yang digunakan oleh penutur Bahasa Melayu Brunei (selepas ini disebut sebagai BMB). Fonem /ŋ/ merupakan singkatan atau sebahagian daripada imbuhan awalan meN- iaitu meng-, contohnya perkataan ambil disebut sebagai ngambil sedangkan dalam Bahasa Melayu Standard (selepas ini disebut sebagai BMS), sebutan dan ejaan yang betul ialah mengambil, bukan ngambil sebagaimana dalam BMB. Hal ini hanya terjadi dalam bahasa pertuturan seharian sahaja dan biasa didengar di kalangan penutur BMB. Malahan, dalam BMS pengunaan fonem /ŋ/ tidak dikategorikan sebagai imbuhan awalan. Fonem /ŋ/ tersebut bukan hanya digunakan dalam BMB, malahan turut digunakan dalam dialek-dialek lain yang ada di Brunei seperti Bahasa Belait/Meting, Bahasa Tutong dan sebagainya.
Dalam beberapa kajian, fonem /ŋ/ turut dikenali sebagai simulfiks, iaitu suatu proses penambahan afiks yang tidak berbentuk suku kata yang diberikan terhadap morfem dasar. Fonem /ŋ/  turut dikenalpasti sebagai afiks yang dapat mengubah kelas kata. Perkataan simulfiks berasal daripada bahasa Latin iaitu simulates yang bermaksud bersamaan, membentuk ataupun melekat. Menurut Harimurti Kridalaksana (1985:20), dalam buku “Tata Bahasa Deskriptif Bahasa Indonesia: Sintaksis”; simulfiks merupakan afiks yang dimansfestasikan dengan ciri-ciri segmental yang ditambahkan pada bentuk kata dasar, manakala dalam bahasa Indonesia pula, ia dimanifestasikan dengan konsonan nasal dari fonem pertama dalam suatu bentuk dasar. Manakala, mengikut buku Linguistik Bandingan Bahasa Bidayuhik  yang ditulis oleh Rahim Aman. (2008: 30), simulfiks {N} adalah afiks pembentuk kata kerja yang paling produktif wujud dalam varian Sungkung, Tawangtikam dan Bekayek. Afiks membentuk kata kerja aktif sama ada transitif ataupun intransitif yang mendukung maksud melakukan sesuatu. Afiks ini memiliki lima alomorf sahaja iaitu /m/, /n/, /ɲ/, /ŋ/ dan /ɲƏ/ (hanya wujud dalam varian Bekayek sahaja). Simulfiks {N} dalam ketiga-tiga varian tersebut yang memiliki alomorf /m/, /n/, /ɲ/, /ŋ/ dan /ɲƏ/ adalah bersifat replesif, iaitu afiks yang tidak berbentuk suku kata yang dicantumkan atau dileburkan pada kata dasar dan sekaligus membentuk afiks yang tidak berbentuk suku kata.
Dalam BMB, Perkataan yang mempunyai fonem /ŋ/  lazimnya membentuk sebuah perkataan yang berbentuk kata kerja transitif. Fonem /ŋ/ ini akan membentuk sebuah perkataan kata dasar yang dimulai dengan huruf-huruf vokal seperti /a/, /i/, /o/ dan /u/ dan kehadiran huruf-huruf tersebut dikekalkan, contohnya (a)  awalan ng- + ambat dalam BMB menjadi ngambat, fonem /ŋ/  juga turut membentuk perkataan baru apabila bertemu dengan perkataan-perkataan kata dasar yang berawalan huruf-huruf konsonan yakni selain huruf-huruf vokal, akan tetapi apabila bertemu dengan fonem /ŋ/, huruf-huruf konsonan tersebut akan digugurkan dan digantikan dengan huruf vokal, contohnya (b) pengguguran konsonan /k/ dalam perkataan kakai akan menjadi ngakai; (c) penambahan konsonan /g/ sebagai contoh perkataan goreng menjadi nggoreng. Penggunaan fonem /ŋ/ hanya berlaku  terhadap kata kerja transitif dan tidak digunakan terhadap ayat intransitif sebagaimana yang diberikan dalam contoh (a), (b) dan (c).

1.1       PERMASALAHAN KAJIAN
Di Negara Brunei Darussalam, penggunaan fonem /ŋ/ banyak dituturkan dalam kehidupan seharian oleh orang-orang Melayu di Brunei, terutama sekali penutur BMB yang sering menggunakannya pada permulaan kata. Hal ini terjadi berkemungkinan dipengaruhi daripada dialek-dialek tempatan yang menuturkan fonem /ŋ/ pada permulaan kata.

Namun begitu dalam kajian ini bukanlah melihat pengaruh fonem /ŋ/ akan tetapi permasalahan yang ingin ditimbulkan ialah sejauhmana fonem /ŋ/  digunakan dalam bentuk lisan, iaitu ingin mengetahui kekerapan penggunaan fonem /ŋ/ dalam BMB. Selain itu, adakah fonem /ŋ/ mempunyai fungsi yang sama dengan imbuhan awalan {mang-} dalam BMB atau awalan {meng-} dalam BMS. Dan juga, adakah fonem /ŋ/ yang digunakan dalam kata kerja dan kata nama mempunyai fungsi yang sama dalam BMB dan BMS.


1.2       OBJEKTIF KAJIAN
Adapun objektif kajian yang cuba ingin dicapai dalam kajian ini ialah:
1.      Mengenalpasti kekerapan fonem /ŋ/ yang digunakan oleh penutur-penutur BMB.
2.      Mengenalpasti fungsi fonem /ŋ/ yang digunakan dalam kata kerja dan kata nama.
3.      Membandingkan fungsi fonem /ŋ/ yang ada dalam BMB dengan awalan meng- dalam BMS.
4.      Mencirikan persamaan ataupun perbezaan fonem /ŋ/ yang digunakan dalam kata kerja dan kata nama.

Objektif yang dinyatakan di atas akan dapat membantu untuk menjawab segala permasalahan atau persoalan yang cuba ditimbulkan dalam kajian ini. Maka dengan itu, akan dapatlah kita mengetahui ciri-ciri yang  memperlihatkan sejauhmanakah kekerapan, fungsi dan persamaan di antara fonem /ŋ/ dengan imbuhan awalan {meng} dalam BMB dan {meng-} dalam BMS.

1.3       SKOP KAJIAN
BMB sebagai salah satu bahasa / dialek yang ada di Negara Brunei Darussalam, maka kajian ini hanya akan mengehadkan atau menumpukan skop kajian mengenai BMB sahaja yang dituturkan oleh penutur BMB secara umum sahaja. Penggunaan fonem /ŋ/ sering berlaku dalam BMB ini, maka kajian ini akan dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai penggunaan fonem /ŋ/ dalam BMB.

1.4       KERANGKA TEORI
Kajian ini akan menggunakan Pendekatan Struktural yang telah dipelopori seorang sarjana barat yang terkenal iaitu Ferdinand de Saussure (1857-1913 M), beliau telah menggunakan pendekatan ini untuk mengkaji bentuk-bentuk struktural yang terdapat dalam sesuatu bahasa ataupun kata dengan membuat beberapa penghuraian dalam meneliti pola-pola yang terkandung dalam sesuatu bahasa dengan melihat kepada struktur-struktur luarannya sahaja.

Oleh yang demikian, teori ini adalah sesuai untuk dipraktikkan dalam kajian ini kerana fokus kajian ini mempunyai hubungan yang rapat dengan pendekatan berkenaan iaitu tentang penggunaan fonem /ŋ/ dalam BMB. Pendekatan ini juga turut digunakan oleh beberapa orang sarjana terkenal dalam bidang bahasa Melayu dan linguistik dalam kajian-kajian mereka, di antaranya ialah Zaharah Buang dalam kajiannya Loghat Melayu Johor dan Perhubongannya dengan Bahasa Umum: Suatu Cherakinan Kajimorfim (1966), Abdullah Hassan dalam kajiannya iaitu Satu Kajian Fonologi-Morfologi Bahasa Orang-Orang Melayu Asli Dialek Temuan (1969), Nik Safiah Karim dalam bukunya iaitu Bahasa Malaysia Syntax: Some Aspects Of Its Standardization (1978), Asmah Hj Omar dalam bukunya Nahu Melayu Mutakhir (1980) dan Mashudi Kader dalam bukunya bertajuk The Syntax of Malay Interrogatives (1981).

1.5       METODOLOGI PENYELIDIKAN
Bagi menjalankan kajian ini, dua kaedah akan digunakan iaitu pertama, kaedah kepustakaan dalam bahagian (1.5.1) iaitu dengan mendapatkan bahan-bahan bacaan dan kepustakaan, terdiri daripada bahan-bahan bacaan ilmiah seperti buku-buku, kajian-kajian lepas dan jurnal-jurnal yang mempunyai hubungan dengan kajian ini termasuklah data-data yang diperoleh melalui media sosial, iaitu Whatsapp dan Facebook.
Kaedah kedua dalam bahagian (1.5.2) adalah dengan menggunakan soal kaji selidik ataupun questionnaires dan kaedah ketiga dalam bahagian (1.6.3) ialah melalui kaedah pemerhatian dengan membuat pemerhatian melalui perbualan dan percakapan secara spontan dan data-data yang diperolehi akan dicatat untuk dijadikan sebagai data kajian.
1.5.1    Kaedah Kepustakaan
Data-data yang diperolehi melalui kaedah ini akan dapat membantu kajian untuk mencapai objektif dan juga permasalahan yang ditimbulkan. Data-data tersebut diperolehi daripada bahan-bahan ilmiah yang terdiri daripada buku-buku, jurnal-jurnal dan kajian-kajian lepas yang diperolehi di perpustakaan-perpustakaan, kedai-kedai buku, serta mendapatkan data-data berkenaan melalui media sosial Whatapp dan Facebook  Sehubungan dengan itu kajian ini juga ada menggunakan beberapa buah buku yang mencakupi bidang linguistik serta kaitannya dengan kajian ini iaitu dengan menggunakan beberapa bahan rujukan daripada sarjana-sarjana linguistik bahasa Melayu khususnya Nik Safiah Karim, Abdullah Hassan, Arbak Othman, Asmah Hj Omar dan lain-lain yang banyak memberi sumbangan ke arah pelaksanaan kajian ini.
1.5.2    Kaedah Soal Kaji Selidik
Kaedah ini digunakan bagi mendapatkan data maklumat yang diperlukan daripada peserta-peserta kajian. Soal kaji selidik berkenaan akan menyentuh soalan-soalan yang berkaitan tentang penggunaan fonem /ŋ/ yang digunakan dalam BMB. Hasil yang diperolehi daripada soal kaji selidik berkenaan akan digunakan bagi mengukuhkan lagi analisis kajian serta dapatan kajian ini. Seramai 35 orang responden terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi dan orang ramai telah dipilih secara rambang bagi menjawab soal kaji selidik berkenaan yang menggunakan BMB sebagai bahasa ibunda mereka dan juga sebagai bahasa pertuturan harian mereka.
1.5.3    Kaedah Pemerhatian
Kaedah pemerhatian turut digunakan bagi mendapatkan data-data kajian selain data yang diperolehi daripada dua kaedah yang disebutkan sebelum ini. Dalam kajian ini, data tersebut akan diperolehi dengan membuat pemerhatian secara rambang daripada peserta kajian, iaitu dengan meneliti ujaran-ujaran yang terhasil secara lisan yang melibatkan penggunaan fonem /ŋ/, data yang diperolehi tersebut juga akan dijadikan sebagai bahan untuk dianalisis dalam bahagian analisis dan dapatan kajian nanti.

1.6       SOROTAN KAJIAN LEPAS
Setakat ini, kajian mengenai fonem /ŋ/ dalam BMB belum dibuat secara khusus. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian lepas yang hampir-hampir serupa dengan kajian tempatan (dalam negeri), iaitu kajian dalam bahasa Kedayan, bahasa Tutong dan bahasa Belait termasuklah beberapa kajian yang dihasilkan dari luar negeri.

1.6.1    Sorotan Kajian Lepas (Negara Brunei Darussalam)
Kajian dibuat oleh Ajamain bin Hj Othman yang bertajuk Morfologi Dialek Kedayan (1991), beliau ada menyentuh mengenai imbuhan awalan yang terdapat dalam dialek Kedayan, iaitu sebanyak 14 imbuhan awalan termasuklah awalan maŋ- contohnya ‘mangampas’ (maŋampas), ‘mengamah’ (maŋamah), ‘mangitung’ (maŋitung), ‘mangali’ (maŋali) dan ‘mangikat’ (maŋikat) namun, kajian berkenaan tidak ada menyentuh mengenai penggunaan fonem /ŋ/ pada awal perkataan dalam dialek Kedayan.

Noor Alifah binti Abdullah bertajuk Struktur Bahasa Belait (2004)  ada menyentuh mengenai soal imbuhan awalan {N} menjadi fonem /ŋ/ sama ada menjadi fonem {ng} ataupun {nge}, iaitu apabila fonem /ŋ/ berhubung dengan kata dasar yang dimulai dengan konsonan /a/, /i/, /k/ dan /n/. Menurutnya lagi, fonem /ŋ/ hadir pada perkataan-perkataan yang berbentuk kata kerja sahaja, ini adalah berdasarkan contoh-contoh perkataan yang digabungkan dengan fonem /ŋ/ bersama-sama kata kerja yang berawalan dengan huruf /a/, /i/, /k/ dan /n/. Contohnya perkataan ngalaai (ŋalaai) hasil penggabungan fonem ng+alaai; perkataan nginjik (ŋinjik) hasil penggabungan fonem ng+injik; perkataan ngalod (ŋalod) hasil penggabungan fonem ng+alod; perkataan ngeruwa (ŋeruwa) hasil penggabungan fonem nge+ruwa; perkataan ngerebiat (ŋerebiat) hasil penggabungan fonem nge+rebiat dan perkataan ngelayian (ŋelayian) hasil penggabungan fonem nge+layian.

Kemudian, kajian yang dibuat oleh Haji Ramlee Tunggal, iaitu dalam bukunya yang bertajuk Struktur Bahasa Tutong (2005), beliau ada menyentuh mengenai imbuhan awalan {N-} yang dibahagikan kepada beberapa bahagian alomorf ataupun fonem, iaitu {nga-}~  {ng-}~ {ang-}~ {am}~ {m-}~{an-}~{n-}~{ny-} dan {ngƏ-}. Namun begitu, dalam hal ini, penggunaan fonem /ŋ/ juga dilihat banyak digunakan dalam perkataan-perkataan yang berbentuk kata kerja contohnya perkataan ngalapis (ŋalapis) merupakan hasil penggabungan fonem ng+lapis yang bermaksud melapis; perkataan ngalanit (ŋalanit) merupakan hasil penggabungan fonem ng+lanit; perkataan ngaridis (ŋaridis) merupakan penggabungan fonem ng+ridis dan banyak lagi.

Kemudian, turut terdapat sebuah thesis yang dihasilkan oleh Mataim Bakar pada tahun 1987 sebagai syarat untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan tesis berkenaan telahpun dibukukan pada tahun 2000 dengan bertajuk Morfologi Dialek Brunei: Satu Tinjauan Kajian Lampau, dalam thesis berkenaan ada menyentuh perihal awalan [maN-] menjadi [maŋ] apabila diberikan pengimbuhan kepada perkataan-perkataan yang berawalan dengan huruf /a/, /u/,/k/, /g/, dan /h/ dan selalunya huruf /k/ akan digugurkan apabila berawalan dengan [maŋ], contohnya perkataan mangarat (maŋarat) daripada imbuhan mang+karat, perkataan mangambil (maŋambil) daripada imbuhan mang+ambil. Meskipun kajian berkenaan memperkatakan sesuatu mengenai imbuhan mang- dalam DMB, akan tetapi penggunaan fonem /ŋ/ yang digunakan dalam DMB tidak ada disentuh dalam kajian berkenaan.

Berkseinambungan dengan itu, sebagai syarat untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Sastera daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mataim Bakar telah menghasilkan satu tesis yang bertajuk Fonologi Dialek Melayu Brunei: Satu Analisis Berdasarkan Teori Standard Fonologi Generatif (1992) yang memperlihatkan mengenai penggunaan fonem /ŋ/ dalam DMB namun beliau hanya menyebutkan fonem /ŋ/ sebagai satu proses penyisipan nasal sahaja yang terjadi dalam kata nama sahaja dan tidak melibatkan sebarang pembentukan kata kerja, contoh yang diberikan adalah seperti matangku [mata + ŋ+ ku] yang bermaksud mataku; bajungku [baju + ŋ + ku] iaitu bermaksud bajuku; lakingku [laki + ŋ + ku] iaitu bermaksud lakiku/suamiku.

1.6.2    Sorotan Kajian Lepas Daripada Luar Negara
Buku yang bertajuk Struktur Bahasa Melayu Palembang (1983)  yang dihasilkan oleh P. D. Dunggio et. al ada memasukkan mengenai penggunaan fonem /ŋ/ pada awal sesebuah perkataan, perkataan yang diambil dan digunakan dalam kajian berkenaan adalah seperti ngaku [ŋ + aku], ngomongke [ŋ + omongke], ngisep [ŋ + isep], ngenjuk [ŋ + enjuk], nglarang [ŋ + larang], ngraso [ŋ + raso], ngyakinke, [ŋ + yakinke] dan sebagainya.

Buku bertajuk Struktur Bahasa Rawas (1984) yang dihasilkan oleh Yuslizal Saleh et. al, juga ada menyentuh penggunaan fonem /ŋ/ dalam bahasa Rawas, penggunaan fonem /ŋ/  tersebut adalah seperti ngimbang [ŋ + imbang], ngiris [ŋ + iris], ngadu [ŋ + adu], ngembus [ŋ + embus], ngubai [ŋ + ubai] dan ngomel  [ŋ + omel].

Buku bertajuk Struktur Bahasa Melayu Langkat (1985) yang dihasilkan oleh Yusmaniar Noor et. al ada menyentuh mengenai fonem /ŋ/ yang digunakan apabila berhubung dengan fonem /l/, /r/ contohnya ngelutar [ŋ + lutar], ngerosak [ŋ + rosak] dan fonem /ŋ/ apabila bertemu dengan  kata dasar yang berawalan /k/, /g/ atau vokal, contohnya ngacaw [ŋ + kacau] dan ngganti  [ŋ + ganti].

Buku Morfologi dan Sintaksis Bahasa Musi (1985) yang disusun oleh R.M Arif, Abdul Madjid et. al juga mengkaji mengenai awalan N- dalam kajian mereka, dalam kajian berkenaan ada dinyatakan bahawa awalan N- berubah bentuknya menjadi fonem /ŋ/ apabila bertemu dengan bentuk dasar yang berfonemkan awalan vokal atau konsonan seperti /k/ dan /g/ yang menyebabkan fungsi fonem tersebut digugurkan dan membentuk satu perkataan yang baru, contoh perkataan yang diberikan ialah perkataan ngenjoq [ng + enjoq] yang bermaksud memnberi; perkataan ngeres [ŋ + eres]; perkataan ngijau [ŋ + ijau] dan perkataan nggolong [ŋ + golong].

Dan, buku Morfologi dan Sintaksis Bahasa Bilide Dialek Lembak (1991)  yang dihasilkan oleh Zainal Arifin Aliana et. al juga ada menyentuh mengenai penggunaan fonem /ŋ/  yang digunakan dalam bahasa berkenaan pada awal permulaan kata, contoh perkataan yang diberikan adalah seperti ngangkat [ŋ + angkat], ngenjuq [ŋ + enjuq], ngiris [ŋ + iris] dan ngitam [ŋ + itam].


Berdasarkan kajian-kajian lepas yang dihasilkan dari dalam mahupun luar negeri, sedikit sebanyak dapat memberi gambaran bagaimana kajian ini akan dilaksanakan nanti, terdapat idea-idea dan buah fikiran serta kekurangan daripada kajian-kajian berkenaan yang akan dapat membantu kajian ini untuk mencapai objektifnya serta mengisi ruang-ruang kosong atau kekurangan berkaitan dengan penggunaan fonem /ŋ/ dalam BMB.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Analisis Kesalahan Bahasa

SINONIM DAN KESINONIMAN KATA BAWA

Taksonomi Kesalahan Berbahasa