Bab 5 Penggunaan fonem ng- dalam Bahasa Melayu Brunei
5.0 KESIMPULAN
Penyelidikan
ini dijalankan adalah bagi mendapatkan sumber dan data mengenai fonem /ŋ/ yang
digunakan dalam BMB, iaitu dengan menumpukan kepada penutur-penutur BMB yang
menggunakan fonem /ŋ/ pada permulaan kata, penyisipan nasal, akhiran dan
penambahan terhadap akhir suatu kata dengan menggunakan fonem /ŋ/. Data-data yang
diperolehi dalam penyelidikan ini adalah dengan melalui dua kaedah melalui soal
kaji selidik dan media sosial, iaitu Facebook
dan Whatsapp.
Penggunaan
fonem /ŋ/ sebagaimana yang dijelaskan dalam bab analisis kajian (Hal. 16) dan
dapatan kajian (Hal. 25) telah menunjukkan akan kepelbagaian fungsi yang
terdapat dalam BMB dan penggunaan fonem /ŋ/ dengan memerhatikan perbezaannya, iaitu
dengan melihat penggunaan imbuhan pada awal kata yang digunakan dalam BMS.
Namun
demikian, dapatlah disimpulkan bahawa fonem /ŋ/ dalam BMB merupakan sebahagian
daripada imbuhan awalan {meng-} dalam BMS. Penggunaan fonem /ŋ/ pada awal kata seringkali
digunakan bagi mengungkapkan kata yang dikategorikan sebagai kata kerja, contohnya
perkataan ‘ngajar’,
‘ngampai’, ‘ngambil’, ‘ngurik’, ‘ngatuk’, ‘ngarik’, ngangkut’, ‘ngipak’ dan sebagainya.
Manakala,
fonem /ŋ/ boleh dilihat fungsinya, iaitu sebagai penyisipan nasal fonem /ŋ/ di
mana kedudukan fonem berkenaan diletakkan atau disisipkan di tengah-tengah
suatu kata yang diikuti dengan singkatan ‘–ku’ dan ia tidaklah dianggap sebagai
imbuhan sisipan kerana imbuhan sisipan hanya berlaku dalam BMS dan penyisipan
nasal berfonemkan /ŋ/ hanya berlaku dalam dialek-dialek sahaja seperti BMB.
Perkataan
yang bersisipkan nasal ini boleh terjadi dalam kata nama BMB yang berakhiran dengan -ku sebagai contoh ‘mamaku’ menjadi ‘mamangku’, ‘bapaku’ menjadi ‘bapangku’, ‘suamiku’ menjadi ‘lakingku’. ‘suduku’ menjadi ‘sudungku’
dan sebagainya, dan penyisipan nasal fonem /ŋ/ turut berlaku dalam kata-kata
dalam kata kerja, sebagai contoh ‘nyaku’
menjadi ‘nyangku’, ‘ujaku’
menjadi ‘ujangku’, ‘kataku’ menjadi ‘katangku’ dan
sebagainya.
Fungsi
Fonem /ŋ/ pada akhiran kata pula, boleh dilihat pada dua aspek, iaitu
penambahan fonem /ŋ/ atau penggantian fonem /ŋ/. Penambahan fonem /ŋ/ berlaku
apabila suatu kata tersebut mengalami penambahan pada akhir suatu kata dasar,
sebagai contohnya perkataan perkataan ‘lampung’ dan ia masih mempunyai maknanya
yang sama.
Kemudian,
bagi penggantian suku kata akhir pula berlaku terhadap suatu kata yang dengan digantikan
fonem /ŋ/ pada akhir kata berkenaan, sebagai contoh perkataan ‘seekor/seikur’ di mana suku kata akhir kata
tersebut digugurkan dan diganti dengan fonem /ŋ/ menjadi ‘seikung’ sebagaimana
yang terjadi dalam BMB.
5.1 SARANAN
Dalam
penyelidikan ini, meskipun masih terdapat ruang-ruang yang perlu diisi dan
diperbaiki yang boleh digarap oleh pengkaji-pengkaji akan datang berkenaan
dengan fonem /ŋ/ dalam BMB, penyelidik berasakan bahawa kajian yang dibuat ini
hanyalah sedikit sahaja dan masih terdapat banyak ruang yang perlu diisi bagi
memenuhi ruang-ruang yang berkaitan berkenaan dengan fonem /ŋ/ yang terdapat dalam BMB.
Penggunaan
fonem /ŋ/ boleh saja dikaitkan dengan penggunaan fonem tersebut pada
dialek-dialek yang ada di negara ini dengan membuat perbandingan di antara
dialek-dialek yang dimaksudkan, kerana ia bukan sahaja memperlihatkan perkaitan
di antara dialek-dialek yang ada, namun turut memperlihatkan kesinambungan dan
persamaan dalam penggunaan fonem /ŋ/ di antara dialek-dialek tersebut dan
secara tidak langsung memberikan penjelasan atau penerangan bagaimana fonem /ŋ/
wujud dalam dialek-dialek berkenaan khususnya dalam bidang morfologi bahasa
Melayu.
Diharapkan
juga penyelidikan ini akan dapat memberi sedikit sebanyak sumbangan kepada
pengkaji-pengkaji di masa hadapan yang berkeinginan untuk membuat penyelidikan
dalam bidang yang sama, dan semoga penyelidikan ini dapat menjadi panduan serta
mampu mengisi dan menjawab ruang-ruang kosong dan kesilapan yang tidak disedari
berlaku dalam penyelidikan ini.
Ulasan
Catat Ulasan